Thursday, May 23, 2013

Peguam, tiga pekerja ladang didapati bersalah bunuh Sosilawati


Pathmanabhan, 41, T Thilaiyagan, 19, R Matan, 20, dan R Khatavarayan, 30, dituduh membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot No 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat pada 30 Ogos 2010.

Pada 13 Oktober pada tahun yang sama mereka dibicarakan atas tuduhan berkenaan. Pada 21 Feb 2010, dua lagi pekerja ladang, K Sarawanan, 20, dan U Suresh, 27, dihukum penjara 20 tahun kerana melupuskan mayat jutawan kosmetik itu dan tiga yang lain.

Hari ini Mahkamah Tinggi mendapati bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain tiga tahun lepas, dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan sedemikian selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut BERNAMA mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Barisan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani.

Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Pushpa Ratnam, Thilaiyalagan diwakili Gurbachan Singh, Matan diwakili peguam Amer Hamzah Arshad manakala Kathavarayan diwakili peguam Hasshahari Johari Mawi.

No comments:

Post a Comment