Tiga tsunami politik Malaysia
MENYOROTI galur perjalanan politik Malaysia
dalam 3 dekad kebelakangan ini, dapatlah disimpulkan bahawa Malaysia
telah dan sedang mengalami tiga fasa tsunami politik.
Dinamakan sebagai tsunami kerana sifat fenomena politik ini adalah
deras, berlaku secara drastik dan mengejutkan semua pihak, laksana
tsunami yang melanda tanpa amaran dan persiapan.
Tsunami Pertama
Pertama pada tahun 1998, dinamakan sebagai TSUNAMI REFORMASI. Apabila
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat serta diheret
ke mahkamah atas tuduhan liwat. Orang-orang Anwar secara automatik
turut terpelanting sama dari kerajaan dan parti. Maka ramai pengikutnya
dikalangan ahli Umno dan penjawat awam bangkit menentang kebobrokan ini.
Mereka terjun bersama barisan pembangkang dengan menubuhkan parti
KeAdilan.
Perkara ini turut mengundang simpati rakyat marhaen. Media alternatif
memainkan peranan yang cukup signifikan dalam membentuk tsunami ini.
Lalu rakyat bangkit atas nama keadilan, melahirkan slogan reformasi,
sebagai reaksi penentangan bagi menentang kezaliman Umno. Seluruh negara
gempar dengan siri-siri demonstrasi, penangkapan, operasi itu dan ini
sehingga mengheret ke ambang PRU ke-10.
Hasil Tsunami ini, protes ahli Umno berlaku dalam PRU ke-10.
Terengganu jatuh ke tangan PAS dengan hanya meninggalkan BN empat
kerusi. Di Kelantan mereka tinggal 2 kerusi. Kedah hampir-hampir ditawan
PAS. Sebilangan kerusi tradisi BN berjaya ditawan pembangkang sehingga
sekarang.
Akibat Tsunami ini, Umno hilang kepercayaan kepada Tun M sebagai
presiden. Akhirnya beliau meletakkan jawatan, lalu digantikan oleh Pak
Lah.
Tsunami Kedua
Kedua adalah TSUNAMI CINA, berlaku pada tahun 2013. Peralihan
sokongan kaum cina dari BN kepada pembangkang begitu drastik sekali
berlaku. Kaum India juga hampir separuh yang berpaling. Pada PRU ke-12,
mereka beramai-ramai melakukan perubahan meninggalkan MCA, MIC dan juga
Gerakan.
Kesan Tsunami ini, Pulau Pinang di bawah Gerakan jatuh ke tangan DAP.
Perak, Kedah dan Selangor juga jatuh tanpa disedari. Kelantan
mengekalkan kemenangan bergaya. Pembangkang berjaya menafikan majoriti
2/3 BN di Dewan Rakyat buat kali pertama dalam sejarah negara.
Kegagalan besar BN telah menyebabkan Pak Lah juga hilang kepercayaan.
Beliau tidak dapat bertahan lama, terpaksa meletakkan jawatan lalu
digantikan dengan proksi Tun M ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Abdul
Razak.
Tsunami Ketiga
Kini, berlaku semacam petanda tsunami baru bakal berlaku. Tsunami ini
berbeza dari yang sebelumnya. Kerana ia bukan tsunami kaum, bukan
tsunami akibat penindasan, tetapi tsunami atas dasar akidah. Tsunami
yang disebut oleh ahli akademik Dr Iskandar Tan Abdullah sebagai TSUNAMI
ISLAM.
Tsunami ini tercetus akibat serangan yang tidak putus-putus terhadap
ajaran Islam dan institusinya. Siri-siri penentangan terhadap
pemerkasaan syariah, campurtangan fatwa, kalimah Allah, sekatan ke atas
penceramah agama dalam dan luar, penghinaan terhadap agama dan berbagai
lagi perilaku yang mengundang kemarahan umat Islam.
Parti-parti, pertubuhan dan individu yang selama ini tidak pernah
menyentuh isu orang Islam, kini terang-terangan menyatakan penentangan.
Mereka yang dahulu kelihatan bermusuh, sanggup bersatu untuk menentang
Islam. Bukan setakat non-muslim, bahkan ada orang Islam termasuk
agamawan sendiri yang berpihak kepada mereka, membekalkan hujah dan
peluru untuk meragui keabsahan ajaran Islam.
Kemarahan umat Islam terhadap fenomena ini jelas dilihat apabila
mereka mula menyeru kepada kesatuan atas nama Islam. Atas nama agama,
umat Islam membuang perbezaan aliran, jemaah, parti dan lokaliti untuk
berdiri dalam satu saf yang sama. Himpunan menyokong RUU355, menjadi
indikator besar bahawa umat ini masih memiliki sensitiviti tinggi
terhadap agama. Pantang melihat Islam dicabar.
Beberapa kajian dan bancian yang dilakukan oleh berbagai pihak
kebelakangan ini mengiyakan hipotesis ini. Ia berlaku terutama kepada
kalangan orang muda dan kaum hawa beragama Islam. Sedar atau tidak,
merekalah yang dominan dalam PRU14 akan datang.
Maka manifestasi Tsunami ini bakal kita lihat dalam PRU14 yang bakal
tiba. Rakyat akan menghukum semua pihak yang bersifat prejudis terhadap
Islam dan institusinya. Umat Islam akan bangkit dan bersatu menentang
segala cubaan untuk melemahkan kredibiliti agama di negara ini.
Isu-isu yang boleh menyeru kepada perpaduan atas nama Islam perlu
sentiasa digerakkan, untuk mengekalkan momentum yang baik ini sehingga
PRU14. Selain RUU355, banyak lagi isu menyentuh maruah agama yang sedang
diperlecehkan. Semua ini perlu disedari oleh umat Islam, supaya agama
ini tidak terus dipermainkan.
Semoga kesedaran untuk membela Islam tidak hanya berlaku dalam
tindakan politik sahaja. Sebaliknya ia terus berkekalan agar agama ini
terus subur di hati dan terus mekar di bumi yang dicintai semua ini.
- HARAKAHDAILY
.........
Blog ini hanya 'mirror' artikel daripada laman asal
http://www.tranungkite.net
Sila ke laman asal untuk dapatkan versi penuh....
No comments:
Post a Comment