ALHAMDULILLAH, PAS telah selamat melancarkan dokumen
Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051) pada program FASTAQIM 2.0 di
Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini. Ianya telah dilancarkan oleh
Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS dengan memaparkan montaj penerangan
ringkas tentang kandungan WINS 2051.
Sebagai maklumat umum, WINS 2051 merupakan satu model baru yang
dicetuskan oleh PAS sebagai panduan asas untuk mentadbir sebuah negara
berdasarkan prinsip-prinsip Islam dalam realiti moden. Model ini bermula
dengan menawarkan solusi kepada berbagai masalah kronik yang
membelenggu negara, juga cadangan untuk membawa negara maju ke hadapan
sehingga menjadi contoh kepada negara lain di seluruh dunia terutamanya
dunia Islam.
Falsafah WINS 2051 bertepatan dengan matlamat penubuhan PAS sendiri
seperti yang termaktub di dalam perlembagaan iaitu 'membina sebuah
masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai
hidup Islam'. Menunjukkan PAS sehingga kini beristiqamah dengan
perjuangan asal daripada awal penubuhan pada tahun 1951. WINS 2051
ibarat terjemahan kepada matlamat penubuhan PAS sendiri. Ini kerana PAS
mempercayai hanya dengan penyelesaian Islam yang universal sahaja
masalah negara boleh diselesaikan dan membawa negara ke arah kemajuan.
Atas sebab itu, sebagaimana rujukan PAS juga, WINS 2051 menjadikan
al-Quran sebagai panduan utama disamping Hadith, Ijmak dan Qiyas. Secara
lebih khusus, WINS 2051 berpaksikan kepada ayat 13 Surah al-Hujurat,
ayat 15 Surah Saba', ayat 96 Surah al-A'raf dan ayat 4 Surah Quraisy.
Selain itu setiap prinsip, perancangan, program utama dan kunci capaian
WINS 2051 menitikberatkan perbahasan syariah Islam.
Dasar WINS 2051 pula tertumpu kepada dua (2) perkara iaitu Sejahtera
dan Berkebajikan. WINS bakal dijalankan dengan berpegang kepada dasar
ini. Setiap program yang bakal dijalankan mengikut kerangka WINS 2051
perlu mengambil kira kedua aspek ini. Sejahtera dengan maksud
mengamalkan konsep keadilan yang sebenar, toleransi serta keharmonian
antara agama dan kaum, kecekapan dan ketelusan pentadbiran serta
ketenteraman awam. Berkebajikan pula adalah konsep taawun atau kerjasama
antara semua institusi dalam negara samada di peringkat rakyat atau
pemerintah dalam berlumba-lumba membuat kebajikan serta memberi manfaat
kepada orang lain. Masing-masing mengembelingkan tenaga bagi menggalas
tanggungjawab memelihara dan memakmurkan Malaysia. Juga bermotifkan agar
mengutamakan kebajikan setiap pihak secara saksama.
Sepanjang menjalankan program-program utama WINS 2051, ianya akan sentiasa berpandu kepada 10 prinsip umum iaitu:
i. Pematuhan kepada prinsip dan penyelesaian Islam.
ii. Insan berkualiti rohani dan fizikal adalah aset terpenting negara.
iii. Kekayaan dan hasil tempatan adalah milik bersama negara, bukan dimonopoli oleh sebahagian pihak sahaja.
iv. Pembangunan sosial dan ekonomi adalah tanggungjawab bersama kerajaan pusat, negeri dan rakyat/komuniti.
v.
Pengasingan antara kuasa Politik dan kuasa Ekonomi. Kuasa Politik
sebagai penentu halatuju negeri, Perancang Program, dan Pemantau. Kuasa
Ekonomi melaksanakan perancangan yang diputuskan tanpa campur tangan
kuasa politik.
vi. Pemisahan kuasa Badan Legislatif, Badan Eksekutif dan Badan Judisiari tanpa ada campur tangan di antara satu sama lain.
vii. Menaiktaraf golongan miskin dan pengurangan kos sara hidup.
viii. Penstrukturan sistem percukaian berdasarkan sistem fiskal Islam.
ix. Pembangunan negara berasaskan prinsip lestari dan mapan.
x. Kehidupan beragama sebagai asas kestabilan dan keharmonian antara kaum.
Dalam melaksanakan matlamat WINS 2051 pula, ianya bakal dibahagikan
kepada tiga (3) fasa utama. Fasa pertama (1) bermula daripada tahun 2018
sehingga 2030 bakal menekankan pendekatan transformasi ke arah
menyelesaikan masalah yang membelenggu negara. Ia dinamakan sebagai
program Transformasi Negara Sejahtera. Fasa kedua (2) pula bermula tahun
2031 hingga 2040 bagi membangunkan Malaysia memacu menuju negara maju.
Seterusnya Fasa ketiga (3) akan bermula pada tahun 2041 sehingga 2051,
yang melonjakkan negara sebagai pemimpin dunia sesuai dengan cita-cita
perjuangan agar tertegaknya negara yang mengamalkan prinsip Islam yang
adil dan saksama untuk semua manusia.
Lujnah Pemerkasaan telah memperincikan rangka kerja WINS 2051 pada
peringkat fasa pertama. Ia bakal menekankan penyelesaian masalah pada 9
teras utama kenegaraan iaitu berkaitan pentadbiran awam, pendidikan,
ekonomi, kesihatan, keselamatan, pertanian, sosiobudaya, alam sekitar
dan prasarana. 9 strategi perlaksanaan dirancang dalam menangani
permasalahan di setiap sektor tersebut. Daripada setiap strategi yang
dirancang, WINS 2051 menetapkan 9 program induk yang bakal menjadi
program utama negara yang perlu dijayakan sepanjang fasa pertama.
Bagi kesemua perancangan di fasa pertama ini telah ditetapkan
Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang sesuai bagi setiap program tersebut.
KPI ini akan mengukur tahap kejayaan sesebuah program yang dijalankan.
Setelah kesemua KPI berjaya dicapai, secara tidak langsung ianya bakal
merealisasikan enam (6) kunci capaian kepada sebuah kehidupan yang
sejahtera dan berkebajikan iaitu:
i. Pengukuhan rohani (Penghayatan Nilai Taqwa/Insaniah)
ii. Keharmonian dan berkebajikan
iii. Ketelusan, Kecekapan dan Keberkesanan Urustadbir
iv. Keadilan dan Kelestarian Sumber
v. Keberkesanan Pembinaan Insan
vi. Keselamatan dan Kesejahteraan Awam
Apabila keenam kunci ini dicapai, maka ia menandakan proses
transformasi negara sejahtera sudah berjaya direalisasikan. Namun fasa
ini memakan masa yang paling lama diantara ketiga fasa WINS 2051 dengan
mengambil kira proses Research and Development (RnD), mengenalpasti
instrumen yang terlibat dalam transformasi dan juga penentuan agensi
yang bakal menjalankannya.
WINS 2051 merupakan satu harapan yang diletakkan oleh PAS untuk
menyelamatkan negara dan seluruh rakyatnya daripada terus hanyut dengan
pelbagai kepincangan. Diakui masih banyak yang perlu dibangunkan dalam
mencapai matlamat WINS 2051 ini. Justeru Lujnah Pemerkasaan Parti
terbuka untuk mengadakan dialog atau perbincangan dengan mana-mana jua
pihak yang ingin membantu mengukuhkan lagi aspirasi WINS 2051.
Di kesempatan ini juga, sekretariat Lajnah Pemerkasaan ingin
merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang
tenaga, buah fikiran mahupun wang ringgit sehingga dokumen WINS 2051
berjaya dilancarkan. Semoga Allah memberkati sedikit usaha yang
dilakukan ini demi meraih keredhaanNya.
Haji Mohd Nurkhuzaini (Hj Khuzz)
Setiausaha Lajnah Pemerkasaan Parti PAS Pusat
.........
Blog ini adalah blog sementara untuk Tranungkite Online (TKO)
No comments:
Post a Comment