Sunday, February 26, 2017
Kekalkan Kelantan di bawah PAS – Syed Saddiq
KUBANG KERIAN: Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa wujud agen dalam parti pembangkang bagi memastikan kelangsungan kemenangan Umno.
Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, ia dilakukan bagi mengagalkan formula pertembungan satu lawan satu dalam pilihan raya akan datang.
Menurutnya, PAS yang sudah membuktikan komitmen mereka untuk terus melawan Umno walaupun pelbagai tuduhan tidak berasas dilemparkan kepada parti berkenaan.
"Ia dilaksanakan ketika mereka (Umno) sedang nazak, maka agen ini akan berperanan dalam parti pembangkang bagi mengagalkan satu lawan satu.
"Ketika saya hadir majlis ini pun, ada rakan-rakan dalam Pakatan Harapan tidak menyenangi menyebabkan saya marah dengan perbuatan ini," katanya.
Beliau berkata lagi, semua parti pembangkang perlu fokus untuk berusaha menumbangkan Barisan Nasional selain mengekalkan Kelantan di bawah PAS.
Syed Saddiq berkata demikian kerana ramai pimpinan PAS Kelantan bebas dari sebarang tuduhan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tambah beliau, gejala tersebut semakin berleluasa dalam pentadbiran kerajaan persekutuan bahkan ia sudah menjadi 'barah' dalam pemerintahan Umno.
"Barisan Nasional perlu ditumbangkan dan mengekalkan Kelantan dibawah PAS, bagi mewujudkan sebuah negara dan pentadbiran yang lebih baik," katanya. – HARAKAHDAILY

No comments:
Post a Comment