
Setiap kes mesti didedahkan secara terinci di internet barulah kerajaan akan bertindak secara adil dan saksama. Itu budaya kerajaan kita. Selagi boleh tutup, tetap mereka akan menutupnya, bagaikan menutup bangkai gajah...
Kematian Kugen diklasifikasi kes bunuh - Peguam Negara
PUTRAJAYA 23 Jan. - Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengklasifikasikan kematian A. Kugen, 22, yang sebelum ini disahkan mati semasa dalam tahanan polis Selasa lalu akibat jangkitan paru-paru berair sebagai kes bunuh.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T. Murugiah berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Abdul Gani menerusi panggilan telefon pagi ini.
Sehubungan itu, menurut Murugiah, polis telah menjalankan siasatan rapi dan mereka yang disyaki melakukan jenayah itu dijangka didakwa di mahkamah minggu depan.
"Peguam Negara telah memaklumkan bahawa kejadian yang menimpa Kugen diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
"Proses siasatan sedang berjalan lancar dan kemungkinan besar orang yang terlibat dalam kes itu didakwa di mahkamah minggu depan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar memaklumkan bahawa laporan bedah siasat oleh hospital terhadap Kugen menunjukkan dia meninggal dunia disebabkan jangkitan paru-paru berair.
Sehubungan itu, polis menolak dakwaan pihak tertentu sebelum ini yang mengatakan kematian mangsa adalah akibat didera semasa dalam tahanan reman.
Kugen yang merupakan suspek kumpulan samun dan curi kereta mewah direman sejak 15 Januari lalu bagi membantu siasatan.
Dia bagaimanapun disahkan mati empat hari kemudian selepas muntah-muntah pada pukul 11.30 pagi di Hospital Serdang.
Ditanya sama ada suspek yang bakal didakwa membabitkan anggota polis, Murugiah menjelaskan, beliau sendiri tidak pasti dan menyerahkannya kepada polis untuk menyiasat.
Beliau menambah, dua orang doktor yang melakukan bedah siasat ke atas mayat Kugen juga akan dipanggil polis untuk memberikan keterangan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan keluarga mangsa supaya bersabar dan menunggu hasil siasatan polis.
Yg benar tetap benar
ReplyDelete