
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata, sistem pendidikan negara kini dijalankan atas dasar dan pelaksanaan yang tidak matang dan sering berubah-ubah.
Keadaan ini menyebabkan murid-murid menjadi seperti ‘tikus makmal’ selain menjadikan para guru terbeban manakala ibu bapa pula kecewa dengan tahap pencapaian anak-anak.
"Mungkin wajar dan sudah sampai masanya kementerian berkenaan diterajui oleh barisan kepimpinan yang pakar dan berkemahiran tinggi sebagaimana cadangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Cadangan itu adalah mewujudkan kepimpinan kerajaan Teknokrat, bukan hanya diserahkan teraju kementerian kepada ahli politik semata-mata," ujar beliau dalam kenyataan, hari ini.
Nasrudin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid semalam yang menyatakan kementeriannya akan memuktamadkan sama ada memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau sebaliknya, tahun depan.
Mahdzir berkata, cadangan berkenaan dalam proses perbincangan di peringkat kementerian buat masa sekatang dan belum dibawa ke Kabinet.
Cadangan itu dipertimbangkan dengan mengambil kira pandangan ahli akademik tempatan, modul-modul luar negara yang diketengahkan seperti Perancis, Finland dan Korea Selatan dan agensi berkaitan selain guru-guru berpengalaman di sekolah.
Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, Mahdzir sepatutnya mempunyai pendirian teguh untuk meneruskan UPSR ini pada masa hadapan juga jika yakin Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan UPSR 2016 berada pada landasan yang betul selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
"UPSR 2016 menjadi tanda aras keberkesanan KSSR dan selepas sudah 6 tahun (2011-2016) pelaksanaannya, sepatutnya ia memberikan kesan yang memberangsangkan.
"Namun adalah mengejutkan, hanya 4,896 (1.11 peratus) orang murid sahaja yang mendapat semua A daripada 452,721 orang calon.
"Sehinggakan, sekolah menengah bertaraf Sekolah Berasrama Penuh (SBP) merendahkan syarat kelayakan kemasukan ke sekolah itu kepada minimum 3A dan 3B," katanya.
Justeru, timbul persoalannya mengenai sama ada KSSR telah gagal mencapai objektinya atau UPSR 2016 terlalu ‘terkehadapan’ sehingga melampaui keupayaan normal murid berusia 12 tahun atau murid-murid tahun 6 sememangnya tidak mencapai standard yang sepatutnya.
"Setakat apa yang boleh difahami daripada kenyataan-kenyataan oleh menteri pendidikan dan ketua pengarah pelajaran, bukan sahaja tiada apa yang perlu dibimbangkan dengan keputusan ini bahkan dikatakan bahawa keputusan itu adalah memuaskan," jelasnya lagi.
No comments:
Post a Comment