
PETALING JAYA: Kesemua anak kapal termasuk seorang sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Women’s Boat To Gaza (WBG) yang ditahan Israel Rabu lalu sudah dibebaskan, menurut pertubuhan MyCARE pagi tadi.
Ia memetik sumber dari Freedom Flotilla Coalition yang menguruskan peguam hak asasi manusia di Tel Aviv.
Semalam, Israel membebaskan 2 daripada mereka, iaitu wartawan Al Jazeera dari United Kingdom, Mina Harballou dan Hoda Rakhme dari Rusia.
“11 orang ahli delegasi yang lain akan diterbangkan semula ke negara masing-masing samada pada malam ini (waktu tempatan) atau awal pagi esok,” kata MyCARE dalam laman Facebook.
Tentera Israel menahan kapal itu bersama 3 kru dan 10 aktivis wanita, termasuk Dr Fauziah Mohd Hasan, pada kira-kira 3 petang Rabu lalu.
Kapal itu yang dalam perjalanan menuju ke Gaza dikepung sebelum ditahan dan ditunda tentera Israel ke Pelabuhan Ashdod.
Selain Dr Fauziah, 10 sukarelawan wanita lain di atas kapal Zaytona-Oliva itu ialah Madelaine Anne Habib (Australia), Synne Sofie Reksten (Norway), Emma Charlota Ringqvist (Sweden), Laureate
Mairead MacGuire (Ireland), Marama Davidson (New Zealand), Jeannette Escanilla (Sweden), Mary Ann Wright (USA), Samira Douaifia (Algeria), Leign Ann Naidoo (Afrika Selatan) dan Sandra Barrilaro (Sepanyol).
No comments:
Post a Comment