
KOTA BHARU: Lebih 5,000 ahli Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah (PEKIDA) Kelantan menyokong pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 atau Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016 yang akan dibentangkan di Parlimen nanti.
Wakil PEKIDA yang juga Setiausaha Majlis Ayahanda Negeri Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat, berkata PEKIDA Kelantan menyokong penuh sebarang usaha untuk memperkasakan perkara berkaitan umat Islam termasuk pindaan RUU 355.

Zainuddin sebelum itu bersama Ayahanda Penerangan PEKIDA, Nik Kahar Nik Ab Kadir; Ahli Majlis Tertinggi PEKIDA, Mohd Nasir Mohd Salleh serta beberapa wakil daripada PEKIDA Kelantan menyerahkan memorandum menyokong pindaan RUU 355 kepada Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Sementara itu, Mohd Amar mengucapkan terima kasih kepada PEKIDA yang menyokong penuh pindaan RUU 355 kerana menunjukkan semangat serta sokongan padu dalam memperkasakan syariat Islam di negara ini.
"Dengan sokongan ini secara tidak langsung ia akan menaikkan semangat untuk melihat pindaan ini dilaksanakan dan kita harap pertubuhan lain akan turut mengikuti jejak langkah sama dalam usaha memperkasakan kuasa Mahkamah Syariah," katanya. Ditanya mengenai penerimaan masyarakat bukan Islam mengenai pindaan ini, Mohd Amar berkata, majoriti masyarakat bukan Islam di negeri ini menerima pindaan berkenaan kerana mereka faham apa yang cuba diketengahkan oleh PAS.
"Namun di negeri lain, masyarakat bukan Islam tidak faham berkaitan pindaan RUU 355 ini kerana ia disensasikan sesetengah pihak seperti DAP, MCA dan GERAKAN sebagai bahan politik," katanya.
No comments:
Post a Comment