
Majlis minum petang bersama BERSIH yang dirancang seakan kenduri kampung di Kampung Permatang, Kuala Selangor semalam kelihatan hambar apabila tiada orang kampung datang memeriahkannya.
Sebaliknya, ahli politik - termasuk dua ahli PKR dan dua wakil rakyat parti itu - menyertai aktivis berbaju kuning dan hanya memberi ucapan sesama sendiri dalam program hampir dua jam itu.
Majlis di halaman rumah seorang ahli PKR tempatan itu merupakan hentian pertama konvoi BERSIH dari Sekinchan ke Kuala Selangor.

Di mata mereka, kenduri minum petang tersebut sudah 'dirampas' oleh ahli politik.
Walaupun kurang mendapat sambutan penduduk tempatan, namun BERSIH sebenarnya berjaya menarik perhatian ramai di peringkat nasional apabila mereka kemudian disambut 'meriah' oleh pihak lawan ketika mengedar risalah di beberapa lokasi di Kuala Selangor.
Tak jadi masalah
Sama seperti penyudah konvoi BERSIH dari Teluk Intan ke Sabak Bernam minggu lepas yang diwarnai aksi 'silat' dan 'pengagihan bunga telur', keghairahan menyambut rombongan kuning semalam memang ketara.
Justeru pihak lawan BERSIH memegang 'mesra' bukan saja anggota rombongan berbaju kuning, malah wartawan yang menjalankan tugas membuat laporan.
Tanpa sambutan mereka - yang minggu ini tidak berbaju merah - sudah tentu liputan konvoi tersebut sehambar kenduri minum petang di Kampung Permatang.
Konvoi BERSIH di Pulau Pinang, Kelantan, Johor dan Sabah semalam sebagai contoh, tidak dapat perhatian meluas apa pun kerana tiada insiden dilaporkan.
Namun bagi Exco Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifa liputan yang diberi kepada BERSIH akibat campur tangan pihak lawan tidak menjadi masalah.
"Kalau lihat dari sudut berbeza kami dapat lebih banyak liputan berbanding BERSIH kerana BERSIH tak dapat sokongan," kata Armand Azha kepada Malaysiakini.
Armand Azha adalah seorang daripada individu yang hadir - tetapi tidak terlibat dengan 'sambutan' - semalam.
Beliau juga berpendapat sama ada BERSIH mendapat simpati atau tidak, ia terpulang kepada individu.
Konvoi BERSIH yang sedang diadakan setiap hujung minggu bertujuan meraih sokongan untuk himpunan BERSIH 5 pada 19 November ini di Kuala Lumpur.
Ketua kumpulan baju merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos, sudah bertekad untuk adakan himpunan bantahan pada hari yang sama.
No comments:
Post a Comment