
KUALA LUMPUR: Pengguna di beberapa kawasan Kuala Lumpur, daerah Petaling dan Hulu Langat akan mengalami gangguan bekalan air berikutan penutupan loji rawatan air Langat dan Sungai Cheras Batu 11.
Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Pengurusan Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata loji tersebut ditutup akibat pencemaran bau dari Sungai Semantan, Pahang.
“Bantuan bekalan air akan dihantar dengan lori tangki ke kawasan terlibat dan premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, pengguna boleh mendapatkan status terkini mengenai kerja pembaikan itu melalui aplikasi telefon bimbit ‘mySYABAS’ atau melayari www.syabas.com.my dan menghantar alamat premis ke nombor 15300 melalui sistem pesanan ringkas, jika memerlukan bantuan air.
Selasa lalu, Loji Rawatan Air Semenyih terpaksa ditutup sekali lagi kerana pencemaran bau di Sungai Semenyih, selepas ia ditutup 3 hari sebelum itu kerana masalah sama.
Susulan itu, beberapa kawasan di Daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling mengalami gangguan bekalan air, seperti mana sewaktu penutupan pada 22 hingga 24 September lalu.
Loji itu dibuka semula keesokannya, selepas langkah proaktif diambil pihak berkaitan, termasuk melakukan pembenihan awan untuk mempercepatkan penurunan hujan bagi mengurangkan kesan pencemaran di Sungai Semenyih dan seterusnya membolehkan loji beroperasi semula.
No comments:
Post a Comment