
Rang undang-undang (RUU) ahli persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah ditetapkan untuk pembentangan di Parlimen lagi apabila Dewan Rakyat kembali bersidang mulai hari Isnin depan.
Anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata, beliau terkejut apabila kertas aturan mesyuarat yang diterimanya untuk sesi 17 Oktober 2016 hingga 24 November 2016 menunjukkan RUU tersebut menjadi perkara keempat dalam senarai.
"Dalam keadaan ini, kemungkinan RUU Hadi akan diperdebat dan diundi sama ada pada Selasa, malah pada hari Isnin, tidak boleh ditolak," kata Lim dalam kenyataan, hari ini.
Antara perkara lain yang terdahulu daripada RUU Hadi itu ialah usul ucapan tahniah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kepada atlet Olimpik dan Paralimpik Malaysia dan usul Perbendaharaan bagi menukar pinjaman RM500 juta kepada SME Bank ke dalam ekuiti.
RUU ahli persendirian biasanya diletakkan di bahagian terbawah senarai dan hanya boleh dipindahkan ke atas dengan sokongan kerajaan.
Keutamaan diberikan kepada RUU Hadi walaupun amaran yang dikeluarkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada bulan lalu untuk BN tidak membenarkannya dibentangkan.
Lim mempersoalkan jika parti-parti komponen BN telah dapat membuat penegasan semasa mesyuarat Majlis Tertinggi BN mengenai akibat jika Umno secara bersendirian dan sewenang-wenangnya menyokong RUU Hadi.
"Dalam keadaan ini, sikap berdiam diri secara berterusan oleh Presiden MCA, Gerakan, MIC dan parti komponen Sabah dan Sarawak daripada Barisan Nasional sama ada mereka bersetuju atau tidak dalam konsensus BN untuk RUU Hadi tidak dapat dipertahankan.
"Masanya telah tiba untuk semua parti komponen BN untuk bersuara mengenai RUU Hadi," jelas beliau.
No comments:
Post a Comment