Keadaan ini menurut pemerhatian AMK Selangor, telah mewujudkan rasa bimbang dan syak wasangka terhadap ketelusan sebenar SPR dan apakah peranan yang dimainkan oleh Kementerian Dalam Negeri, Imigresen , PDRM dan Pejabat Perdana Menteri sendiri dalam konspirasi jahat yang dilakukan semata-mata untuk menjamin kemenangan secara penipuan kepada Barisan Nasional.
Kebanjiran warga asing yang mempunyai kad pengenalan ini pasti memberi implikasi yang buruk kepada masa depan Malaysia. Pertama, adilkah sekiranya warga asing diberikan hak secara semberono untuk mengundi dalam satu proses demokrasi pilihanraya yang diwar-warkan sebagai adil dan telus ini? Siapakah yang harus memikul tanggungjawab atas kesan buruk ini kemudian hari?
Kedua, apakah hak 28 juta rakyat Malaysia ini akhirnya ditentukan oleh warga asing yang tidak tahu menahu tentang keadaan politik sebenar di Malaysia dan mengundi sekadar syarat untuk terus menetap di negara ini. Ini adalah tindakan penipuan dan menzalimi hak rakyat walaupun Najib Razak selaku Perdana Menteri sementara telah menjanjikan sebuah pilihanraya yang bebas dan adil sebelum ini.
AMK Selangor bimbang masa depan anak muda dan generasi akan datang berada di ambang penuh kecelaruan akibat limpahan warga asing secara tidak bertanggungjawab ini, dan bukti jelas seperti yang berlaku di Sabah sekarang adalah mimpi buruk yang digarap oleh Barisan Nasional di bawah pemerintahan Tun Mahathir yang kini ditiru oleh Najib Razak yang terdesak untuk mengekalkan kuasa di Putrajaya selain merampas kembali negeri Selangor.
AMK Selangor turut menyeru anak-anak muda yang mengundi buat pertama kali pada 5 Mei nanti untuk keluar awal bagi mengelakkan kesesakan dan membantu mobilisasi Pakatan Rakyat untuk membawa pengundi keluar seramai yang mungkin. Peratusan keluar mengundi yang tinggi juga adalah sebagai satu langkah untuk mengekang penipuan Barisan Nasional kali ini.
Amalkan sikap yang tenang dan jangan mudah terpengaruh dengan provokasi yang dilakukan oleh Barisan Nasional sepanjang tempoh pengundian berlangsung. Pakatan Rakyat menjunjung semangat demokrasi yang tinggi serta mengharapkan semua pengundi dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan dengan izin Allah, rakyat akan membentuk kerajaan baru di Putrajaya menjelang 6 Mei 2013.
Pertahankan Selangor, Tawan Putrajaya
AZMIZAM ZAMAN HURI
Ketua AMK Selangor
Naib Ketua AMK Malaysia
No comments:
Post a Comment