Perhatian...


TranungkiteOffline blogspot adalah "laman backup" sekiranya berlaku serangan yang mengejut dan berteruskan kepada server kami www.tranungkite.net. Jika tiada serangan blog ini menjadi blog biasa dengan bahan-bahan politik & semasa. Insya-Allah mulai Mei 2013 laman ini akan dikemaskini setiap hari. Kami akan memaparkan berita berbentuk santai, ringkas dan padat berfokuskan facebook atau twitter.- Terima kasih

Abbas Mohd Noor
Administrator
mel hubungan: abbas.mohdnoor@gmail.com

....................................................................................................................................................................................
PERHATIAN:    K.l.i.k.   g.a.m.b.a.r.   u.n.t.u.k.   p.a.p.a.r.a.n.   b.e.s.a.r....
Klik LIKE jika anda suka blog ini...

....................................................................................................................................................................................
Video terkini untuk ditonton.. (klik youtube atau tajuk untuk tab yang berasingan...)

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak kisah jika Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad berkata, parti itu yakin ahli Majlis Pimpinan Tertingginya tidak terbabit dalam penyalahgunaan kuasa.

Komen Tun Mahathir bila ucapan Zahid Hamidi yang menyentuh mengenai keturunan beliau. Kini isu keturunan dan asal usul menjadi 'mainan' politik baru.

Saturday, December 10, 2016

Teks penuh memorandum Gagasan kepada menteri


MEMORANDUM PENGAWALAN URUS SELIA DANA POLITIK DAN PEMBASMIAN AMALAN POLITIK WANG DI MALAYSIA

1. PENDAHULUAN

Sejak bertahun-tahun lamanya masalah pengurusan dana politik dan pengawalannya telah diperkatakan, tetapi tidak pernah ditangani dengan serius dan ikhlas. Kelalaian terhadap perkara tersebut telah mengakibatkan wujudnya masalah sehingga menjadi sesuatu yang tersangat serius dan boleh meruntuhkan negara jika tidak ditangani oleh semua pihak sama ada pihak kerajaan atau parti-parti politik secara bersungguh-sungguh, iaitu dengan memperbetulkan semua sistem dan budaya berkaitan yang menyeleweng.

Sekitar beberapa tahun yang kebelakangan ini, topik utama yang menjadi perbualan rakyat dan pimpinan politik adalah mengenai kemelut 1MDB, pemberian dan penerimaan dana politik serta amalan politik wang oleh parti-parti politik. Sebenarnya kemelut ini membuktikan wujud masalah akar umbi yang serius berkaitan dengan urus selia dana politik dan amalan politik wang. Disebabkan tidak terdapat sebarang peraturan dan undang-undang untuk mengawal segala persoalan-persoalan mengenai urus selia dana politik dan politik wang ini maka berlakulah penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan secara besar-besaran.

Salahguna kuasa, rasuah dan penyelewengan di atas berlaku bukan sahaja di peringkat kerajaan persekutuan tetapi telah menular secara begitu berleluasa di peringkat kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan-kerajaan tempatan, melibatkan kementerian, jabatan dan sehingga yang paling bawah ke pejabat tanah dan sebagainya. Dengan pengertian lain, masalah ini telah menjadi wabak yang merosakkan seluruh sistem kerajaan dan budaya kerja dari atas sehingga ke bawah. Sekiranya wabak ini dibiarkan, negara tercinta ini akan menuju kehancuran.

Selain daripada wabak ini boleh mengancam keutuhan negara kita, ia juga turut memberi kesan langsung kepada rakyat. Akibat dari wabak salahguna kuasa, rasuah dan penyelewengan ini, seluruh rakyat yang hendak berurusan dengan kerajaan di semua peringkat terpaksa melalui ‘penyiksaan’ yang amat sangat dalam menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan kehidupan seharian mereka. Sudah tentu situasi seperti ini telah dan sedang membantutkan kemajuan rakyat, dan akan memberikan kesan negatif berganda kepada negara keseluruhannya secara yang serius.

Malangnya kita dapati perkara yang begitu serius ini, secara langsung atau tidak langsung dilihat seperti dihalalkan. Lazimnya difahami pada hari ini, pemberian wang dan penerimaan wang sama ada berjumlah besar atau kecil, semuanya adalah halal jika ia diberi atas nama dana politik (political donation), ini diamalkan dari atas sehingga ke bawah bukan sahaja oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional di semua peringkat, tetapi juga di kalangan pemimpin parti-parti pembangkang khususnya PKR dan DAP.

2. PUNCA MASALAH AMALAN POLITIK WANG

Masalah pengutipan dana politik ini telah sedikit sebanyak diuruskan dan dikawal selia secara yang begitu berkesan semasa era pemerintahan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussin, Tun Hussein Onn dan pada awal pemerintahan Tun Dr Mahathir, iaitu semasa ditekankan konsep “Kerajaan Bersih, Cekap dan Amanah”. Ketika era tersebut, isu-isu berkaitan salahguna kuasa, rasuah dan penyelewengan jarang didengari; malah berlakunya pemantauan yang ketat oleh agensi-agensi penguatkuasaan seperti Biro Pencegahan Rasuah (BPR) dan lain-lain.

Malangnya sekitar pertengahan dekad 1980 an, semua peraturan dan amalan berkaitan dana politik yang sebelumnya telah dilaksanakan dengan begitu berkesan mula dirosakkan, apabila suatu pemikiran baru muncul bahawa pembiayaan dana politik ini hendaklah diserahkan kepada ‘friendly parties’ (kalangan sahabat). Di sinilah titik mulanya kerosakan di semua peringkat pentadbiran Kerajaan, iaitu dengan bermulanya sistem pemusatan kuasa, kontrak rundingan terus, penswastaan, penggunaan konsultan dalam menentukan harga, amalan kronisme, pemborosan dan ketirisan secara yang besar-besaran.

Keadaan buruk ini terus meningkat di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi dan sekarang ini ia telah benar-benar memuncak. Wabak salahguna kuasa, rasuah dan penyelewengan ini sukar lagi dibendung meskipun ada ‘usaha-usaha kosmetik’ dilakukan seperti menaikkan taraf BPR kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya-suruhanjaya DiRaja di zaman Tun Abdullah. Rawatan terhadap wabak ini memerlukan penggembelingan tenaga rakyat tanpa mengira fahaman politik, latarbelakang kaum dan kepercayaan agama. 

Suatu lagi perkara penting yang telah menyumbang kepada kerosakan sistem kawalan urus selia ini sehingga mencetuskan wabak peningkatan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa adalah dengan merebak dan meningkatnya amalan politik wang. Ia adalah satu suatu amalan di mana sogokan wang dan habuan lain digunakan untuk mendapat jawatan-jawatan penting dalam kepimpinan parti-parti politik dan juga menyogok pengundi untuk memenangi kerusi-kerusi dalam pilihanraya.

Persaingan untuk mendapat jawatan-jawatan penting dalam parti ini kian menjadi hangat dan sengit dengan adanya keyakinan mereka bahawa dengan memegang jawatan-jawatan penting ini akan memudahkan mereka memperolehi jawatan-jawatan penting dalam kerajaan. Maka bertapaklah suatu pemikiran dan budaya yang sangat bahaya tetapi diterima ramai oleh ahli-ahli politik, iaitu "politik memerlukan wang" (politics need money). Apabila pemikiran ini telah diterapkan dan amalan ini sudah dibudayakan, maka ia tidak lagi dilihat satu dosa yang besar.

Budaya Politik Wang ini juga telah mula menapak dan meningkat secara yang begitu meluas di kalangan parti-parti politik khususnya parti pemerintah mulai pertengahan dekad 1980 an. Lebih daripada itu, budaya ini memerlukan seseorang itu menyediakan berjuta-juta ringgit untuk memenangi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Ahli-ahli Exco Pemuda, Ahli-ahli Exco Wanita dan lain-lain. Wabak ini kemudiannya merebak pula di kalangan parti-parti politik lain di Malaysia.

Wabak tersebut yang mula dalam UMNO secara begitu ketara telah merebak kepada parti-parti kerajaan dan parti-parti pembangkang. Sekarang ini budaya Politik Wang telah menjadi suatu yang diterima umum oleh ahli-ahli politik bahawa politik memerlukan wang. Ia menjadi lebih kronik apabila ahli-ahli biasa dan pewakilan-perwakilan pula tiada lagi segan silu meminta-minta sehingga menjadi satu budaya ‘memakan umpan’ di musim-musim pemilihan parti. Oleh sebab politik memerlukan wang maka dihalalkan penggunaan kuasa politik untuk mencari wang.

Di dalam musim pilihanraya pula, sama ada Pilihanraya Kecil (PRK) atau Pilihanraya Umum (PRU), budaya Politik Wang ini lebih berleluasa. Parti-parti politik yang bertanding menyogok wang kepada pengundi untuk membeli undi mereka ketika hari pengundian. Hari ini, di kalangan pengundi, persoalan manifesto parti dan juga kewibawaan calon tidak lagi menjadi pertimbangan. Sebaliknya yang lebih penting siapa yang boleh memberi sogokan yang lebih besar. Disebabkan itu, parti-parti yang bertanding berusaha mendapat dana dari apa juga sumber untuk tujuan itu.

Antara sumber-sumber Dana Politik ini ialah syarikat-syarikat kroni yang akan mendapat manfaat langsung apabila seseorang atau sesebuah parti berkuasa. Oleh sebab itu, tidaklah lagi menghairankan apabila amalan penggunaan kuasa politik bagi mencari wang sedang berlaku dengan berleluasa di semua peringkat sama ada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Kerajaan Tempatan dan sebagainya. Salahguna kuasa, rasuah dan penyelewengan yang sedang berleluasa ini dilakukan tanpa perasaan malu atau perasaan salah kerana bagi mereka apakan daya "politik memerlukan wang".

Menyedari hakikat tersebut, masalah pengawalan urus selia Dana Politik dan pembasmian amalan Politik Wang adalah dua penyakit besar negara, rakyat dan semua parti-parti politik tanah air, dan wabak ini mempunyai kaitan yang sangat rapat antara satu dengan yang lain. GAGASAN melihat semua pihak perlu menggembeling tenaga mencegah dan merawat wabak ini. Oleh sebab itu, GAGASAN mencadangkan langkah-langkah tertentu diambil meliputi aspek penggubalan undang-undang baru dan penguatkuasaan undang-undang sedia ada ke arah membetulkan sistem dan budaya berpolitik di Malaysia.

3. CADANGAN LANGKAH-LANGKAH

Ke arah mengawal urus selia Dana Politik dan membasmi amalan Politik Wang GAGASAN mengusulkan pendekatan-pendekatan berikut diambil oleh semua pihak sama ada pihak kerajaan, parti-parti politik dan rakyat keseluruhannya.

3.1 Kawalan terhadap Sumbangan dan Perbelanjaan Parti-parti Politik

a. Penguatkuasaan Peraturan dan Undang-undang Sedia Ada

Peraturan dan undang-undang sedia ada sememangnya memadai untuk memantau dan mengawal perbelanjaan calon-calon pilihanraya yang bertanding. Dalam hal ini, apa yang perlu dilakukan ialah memastikan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang itu benar-benar berlaku dan dilaksanakan secara menyeluruh dan tegas. Selain daripada itu, adalah dicadangkan supaya perlaksanaan peraturan dan undang-undang itu diperluaskan bukan hanya kepada calon tetapi juga kepada parti-parti politik.

b. Penggubalan Akta Baru tentang Dana Politik

Di samping peraturan dan undang-undang yang sedia ada, kerajaan disarankan menggubal satu akta baru berkaitan dengan pembiayaan dana politik yang bertujuan untuk menjadikan urus selia dana politik ini telus. Akta baru ini perlu memastikan kawalan ketat ke atas mana-mana sumbangan dari luar negara, disebabkan sumbangan itu secara langsung boleh difahami sebagai campurtangan asing terhadap hal ehwal politik Malaysia. Melalui akta baru ini, mana-mana parti politik tidak boleh meminta dan menerima dana politik dari mana-mana pihak luar.

c. Penggubalan Akta Baru Pembasmian Politik Wang

Oleh sebab permasalahan mengenai dana politik dan politik wang saling berkaitan dan menimbulkan permaslahan yang hampir sama, maka adalah dicadangkan bahawa akta baru untuk pengawalan urus selia dana politik itu merangkumi juga usaha-usaha pembasmian amalan politik wang. Pihak pemerintah juga telah melaksanakan berbagai langkah untuk mengawal dan membasmi politik wang menerusi berbagai cara, peraturan dan perundangan. Sehingga sekarang tindakan tersebut tidaklah berkesan kerana undang-undang mengenai perkara tersebut juga masih banyak yang samar-samar (grey areas). Oleh sebab itu, masalah politik wang ini kian merebak, membesar dan semakin merbahaya.

Menyedari masalah tersebut, adalah dicadangkan Akta Baru yang hendak digubal ini, hendaklah merangkumi usaha-usaha yang dapat membasmikan penyakit amalan politik wang ini. Akta tersebut seharusnya mengandungi hukuman yang seberat-beratnya termasuk penjara, perlucutan jawatan seumur hidup, denda yang berat dan juga rotan. Ia harus merangkumi bukan sahaja pemberi rasuah tetapi juga yang meminta dan yang menerima. Jika perlu kerajaan bolehlah melantik sebuah jawatankuasa yang mewakili pihak kerajaan dan pembangkang untuk membantu menggubal perkara itu.

d. Kawalan terhadap Akaun Parti-parti Politik

Bagi mengawal sumbangan dana politik ke akaun parti-parti politik, maka akaun parti-parti politik mestilah diisytiharkan kepada umum setahun sekali iaitu dengan menyerahkan laporan akaun tahunan bukan sahaja kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) tetapi juga kepada SPRM. Akta yang baru digubal juga perlu mempunyai peruntukan yang melarang sama sekali dana politik disalurkan kepada akaun peribadi pemegang-pemegang jawatan politik.

e. Melarang Penggunaan Dana Haram atau Tidak Sah

Mana-mana parti politik dilarang sama sekali menerima sumbangan dana politik daripada sumber-sumber haram dan tidak sah, iaitu meliputi sumber daripada pemilik-pemilik peniagaan tidak sah, individu-individu yang terlibat dengan jenayah termasuk jenayah komersial dan lain-lain. Perkara ini adalah penting untuk memastikan gejala jenayah seperti judi haram, pelacuran, kongsi gelap dan lain-lain yang sememangnya kronik sekarang dapat dikawal seterusnya dibasmikan.

3.2 Keizinan kepada Parti Politik Menubuhkan Syarikat

Suatu cadangan yang praktikal yang harus dipertimbangkan oleh Kerajaan Malaysia bagi mengatasi masalah pembiayaan dana politik bagi parti-parti politik adalah dengan membenarkan penubuhan syarikat-syarikat perniagaan oleh parti-parti politik yang berdaftar. Konsep ini telah diterima baik dan dilaksanakan pada tahun 1960 an  dan 1970 an oleh pemerintah yang ada sekarang. Ketika itu, dalam usaha untuk mengawal selia dana politik supaya tidak terdapat salahguna kuasa, rasuah dan penyelewengan, keputusan dibuat oleh pemerintah mengizikan parti-parti politik menubuhkan syarikat korporat masing-masing untuk menjalankan perniagaan-perniagaan sah bagi membiayai parti politik masing-masing.

Konsep ini boleh diperbiiki dengan menggubal peraturan yang ketat supaya tidak akan terjadi penyelewengan atau amalan pilih kasih dan sebagainya dalam menjalankan perniagaan-perniagaan tersebut, misalnya, badan korporat tersebut tidak boleh memohon harta-harta kerajaan, perlu masuk tender terbuka seperti syarikat-syarikat lain, perlu saingan secara bebas dan sama rata dengan syarikat-syarikat lain dan tidak boleh mengambil bahagian dalam perniagaan tertentu yang strategik bagi rakyat dan negara.

Peraturan-peraturan ini juga boleh diperkemaskan oleh kerajaan supaya ia benar-benar adil, terbuka dan sama-rata. Syarikat-syarikat ini perlulah didaftarkan dengan SPRM, Suruhanjaya Syarikat (ROC), Jabatan Hasil Dalam Negeri dan lain-lain agensi yang boleh memantau perjalanan syarikat-syarikat ini. Kerajaan dapat membantu syarikat seperti ini dengan berbagai cara tetapi haruslah sama rata kepada semua badan-badan korporat yang secara rasmi telah didaftarkan, misalnya kerajaan dapat memberi pengecualian cukai, untuk sekian peratus yang munasabah dari keuntungan yang diperolehi.

3.3 Dana Awam untuk Parti Politik

Salah satu cara memastikan ketelusan urus selia dana politik, seperti yang diamalkan oleh beberapa negara maju iaitu dengan memberi geran-geran kewangan kepada parti-parti politik mengikut formula-formula tertentu yang praktikal. Formula itu, mungkin ini boleh berasaskan jumlah undi yang diperolehi oleh parti-parti politik tersebut dalam PRU atau berdasarkan jumlah keahlian sesuatu parti. Kaedah pemberian geran ini memerlukan kajian yang mandalam dan boleh dipelajari dari pengalaman negara-negara lain yang mengamalkan cara ini.

3.4 Pendidikan dan Pembudayaan Politik yang Berintegriti

Satu usaha yang berterusan perlu dilakukan oleh kerajaan dan masyarakat sivil untuk mendidik dan membudayakan ahli-ahli politik dan rakyat keseluruhannya tentang kepentingan membasmi amalan politik wang dan urus selia dana politik yang tidak telus, sehingga mereka akan ditanamkan sikap benci terhadap perkara tersebut. Kerajaan disarankan memberi ruang yang terbuka dalam media-media rasmi kerajaan untuk tujuan ini di samping mengeluarkan peruntukan tertentu untuk menyuburkan usaha pendidikan dan pembudayaan politik yang berintegriti.

Tanggungjawab ini mungkin boleh diberi kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bersama badan-badan lain seperti kumpulan masyarakat madani yang berkaitan, untuk dilaksanakan secara terus-menerus. Jentera kerajaan seperti Jabatan Penerangan dan pihak media boleh menyemarakkan lagi pendidikan politik dan pembudayaan politik yang murni dan menyedarkan rakyat akan bahayanya penyalahan urus selia dana politik dan amalan politik wang yang boleh menjejaskan kedaulatan negara.

4. KESIMPULAN TUNTUTAN

Oleh yang demikian, GAGASAN dengan ini mendesak kerajaan agar tidak melengah-lengahkan lagi pembentangan Akta Baru ini sepertimana yang telah diwarwarkan. Dengan ini juga, kami mendesak supaya akta ini akan dibentangkan ke Parlimen pada sesi Parlimen Mac 2017 ini. Disebabkan masalah berkaitan adalah sangat kronik dan mendesak, maka ia perlu ditangani serta merta. Pihak yang berkaitan dengan Kerajaan telah diberi masa secukupnya untuk menggubal undang-undang tersebut, justeru tidak harus dilengahkan lagi komitmen yang tinggi ini.

Pihak GAGASAN dengan ini juga mendesak parti-parti lain turut memberi tekanan kepada pihak Kerajaan jika kita benar-benar ikhlas untuk mengatasi bencana besar negara dan bangsa ini. Tidak ada gunanya kita menjerit di jalan-jalan raya sedangkan tiada cadangan konkrit untuk mengatasi masalah yang sedemikian kronik seperti ini. Sehubungan dengan itu, GAGASAN akan mencadangkan semua parti-parti politik bersetuju untuk menandatangani PIAGAM POLITIK BERINTEGRITI yang akan diusulkan oleh GAGASAN sedikit masa lagi.

Dato’ Tuan Ibrahim Bin Tuan Man
Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Kadir Bin Hj. Sheikh Fadzir
Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN)

Disediakan oleh:

JAWATANKUASA BERTINDAK
URUS SELIA DANA POLITIK DAN AMALAN POLITIK WANG
D/A Tingkat 3, Pejabat Agung PAS
No 318-A, Jalan Raja Laut,
50350, Kuala Lumpur



.........
Blog ini hanya 'mirror' artikel daripada laman asal
http://www.tranungkite.net
Sila ke laman asal untuk dapatkan versi penuh....

No comments:

Post a Comment

Artikel Bulan Ini

DetikDaily

Free Malaysia Today

Harakahdaily

Malaysiakini

KeadilanDaily