BANGI, 12 Muharram 1438H, Khamis – Sudah tiba masanya untuk PAS mengatur strategi dan menggerakkan langkah menggantikan pemerintahan negara daripada UMNO sekaligus menawan Putrajaya.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, PAS adalah antara parti pembangkang yang berpotensi mengambil posisi pemerintahan kerajaan negara.
"Dalam konteks keseluruhan di pihak pembangkang, PAS masih berada dalam kerangka tersebut. Jadi, sekiranya keseluruhan pembangkang mahu mengambil alih Putrajaya, PAS adalah salah satu parti yang berpotensi besar untuk menggantikan tempat UMNO.
"PAS akan menyaingi UMNO di hampir keseluruhan tempat. Dan jika berlaku perubahan dalam pengundi Melayu kepada PAS, parti itu berpotensi besar ambil alih Putrajaya. Slogan PAS ganti UMNO perlu diangkat tinggi-tinggi," katanya kepada Ismaweb, hari ini.
Justeru, beliau berkata, PAS perlu mengubah cara pemikiran mereka dan keluar daripada posisi yang sekadar mahu mengekalkan kuasanya di Kelantan dan menyasarkan beberapa negeri sahaja.
"PAS perlu buktikan ia mampu rampas Putrajaya. Bukan parti itu hanya meletakkan objektif untuk berpegang kepada beberapa negeri sahaja, ia sangat sederhana.
"Parti itu sebaliknya perlu bersedia menjadi alternatif dan salah satunya mereka perlu tampilkan calon Perdana Menteri mereka. Malah, PAS juga perlu letakkan objektif mereka untuk ke Putrajaya," katanya.
No comments:
Post a Comment